Lagi Kes Kanak-Kanak Terkunci Dalam Kereta

Kejadian petang semalam di Kampung Apar Singgai, Bau, Sarawak, anggota bomba terpaksa memecahkan cermin tingkap kereta untuk menyelamatkan budak lelaki berusia setahun yang lebih setengah jam terkunci dalam kenderaan itu.


Dalam kejadian 6 petang, budak lelaki itu ditinggalkan di dalam kereta ketika ibu bapanya berada di luar untuk membersihkan kenderaan itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, ketika kejadian enjin kereta dimatikan tetapi kunci berada di tangan kanak-kanak itu.

"Ketika bermain, kanak-kanak itu dipercayai tertekan kunci menyebabkannya terkunci dari dalam.

"Difahamkan dia terperangkap dalam kenderaan itu lebih setengah jam sebelum anggota bomba datang memberikan bantuan," katanya.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.14 petang dengan enam anggota dan dua unit EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Bau ke lokasi kejadian. Katanya, bomba memecahkan cermin di bahagian pemandu selepas mendapat kebenaran daripada bapa mangsa.

"Kanak-kanak terbabit berjaya dikeluarkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Related Posts

Load comments