"Sebagai wanita, disahkan hamil adalah antara detik yang paling dinanti kerana ia menjadi permulaan yang melengkapi lagi hidup ini.
Kebahagiaan yang dinikmati penyanyi bersuara lunak, Misha Omar selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga semakin bermakna apabila dirinya kini hamil anak pertama. Enggan mendedahkan usia kandungannya, Misha, 34, bersyukur kerana perjalanan awal untuk menjadi ibu dipermudahkan Allah apabila dirinya tidak diuji dengan alahan teruk.
Saya terharu kerana permulaan tahun 2016 membawa pelbagai kenangan manis dalam hidup ini.
"Secara jujur, tidak banyak yang dapat dikongsi kerana semuanya masih terlalu baharu. Alhamdulillah pada permulaan ini, saya tidak berdepan dengan alahan teruk malah setiap urusan kerja berjalan lancar.
"Suami antara insan paling gembira dan pada masa sama terharu apabila mendapat tahu saya sudah hamil. Dia begitu mengambil berat, malah layanan yang diberikan juga lebih istimewa membuatkan saya rasa diri dihargai," katanya.
Penyanyi yang kini popular dengan lagu duet bersama Hafiz Suip, Terimaku Seadanya, diijabkabulkan dengan juruterabang, Firos Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 sebelum ini mempunyai dua anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4.
"Pengalaman mendidik dua anak angkat membuatkan saya tidak lagi kekok untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu. Namun, pengalaman terbaharu ini agak mengujakan kerana saya bakal melalui sendiri apa yang pernah dilalui setiap wanita yang menjadi ibu.
"Saya hanya mampu berdoa diberikan Allah kesihatan yang baik supaya dapat melalui detik ini dengan indah kerana zuriat adalah amanah yang menjadi pengerat kepada kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga," katanya. | Sumber BHarian