Album terbaru UNIC, Zikir Munajat ft Ustaz Syed Abdul Kadir


Menariknya album ini turut menampilkan Ustaz Syed Abd Kadir AlJoofre sebagai penceramah undangan. Ia memuatkan 18 alunan zikir yang sememangnya diketahui pendengar dan tazkirah.

Sebagai kumpulan dakwah yang berpengalaman, anggota UNIC sentiasa mencari jalan menghasilkan produk terbaik yang mampu diterima peminat.

Zikir Ya Latiff


Zikir Ya Latif, salah satu track dari album terbaru UNIC 2016 "Zikir Munajat" ft Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre.

Dapatkan di pasaran sekarang dengan harga RM19.90 atau order secara online di http://www.unic.my/unicmyshop


Meskipun kini bergerak berdua, UNIC yang dianggotai Bazli dan Fakhrul terus gigih menghasilkan album ke-12 berjudul Zikir Munajat.

Ditemui baru-baru ini, Bazli berkata, UNIC pernah menghasilkan album berkonsepkan doa dan tahajud dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Kami kini terbitkan satu lagi album konsep. Ia adalah kesinambungan daripada apa yang dibuat sebelum ini. Album ini lebih fokus kepada zikir munajat yang selalu kita alunkan, tapi ditambah bahasa Melayu untuk pemahaman pendengar.

“Pendengar boleh menikmati zikir ini sambil memahami terjemahan yang disampaikan. Ia lebih memberi kepuasan kepada mereka. Manakala peranan Ustaz Syed Abd Kadir pula ialah memberi tazkirah santai serta hadis yang ringkas dalam bentuk penceritaan.

“Kami turut menampilkan satu lagu bonus berjudul Hakikat. Lagu ini asalnya nyanyian kumpulan Durrani yang dihasilkan pada 2002,” katanya.

UNIC sebelum ini banyak menghasilkan album lagu. Bagaimanapun, strategi menghasilkan album konsep ternyata menjadi apabila ada antaranya mencecah jualan 50,000 unit.

“Syukur album Doa berjaya mencapai anugerah platinum berkembar empat. Album itu pun turut menampilkan gabungan dengan Ustaz Syed Abd Kadir. Album Doa turut dipilih menjadi silibus untuk sekolah tadika.

“Album Doa juga diterima pendengar di Indonesia dan jadi siulan kanak-kanak di sana. Jumlah tontonan lagu ini di YouTube juga sangat bagus. Kalau ikutkan lagu dalam Zikir Munajat sudah biasa kita dengar, tapi kami berikan nafas baru. Keseluruhannya ia disampaikan dalam bentuk acapella. Ini adalah permintaan peminat sendiri dan kami menyusun iramanya supaya lebih segar,” kata Fakhrul.

Menurutnya, mereka sentiasa mendengar pandangan peminat kerana mahukan produk UNIC diterima semua golongan masyarakat.

“Zikir adalah satu pilihan terbaik kerana dapat memberikan terapi kepada jiwa. UNIC bertuah kerana masih diikuti oleh peminat lama, selain diterima pendengar baru.

“Kami sentiasa mencari jalan terbaik menggabungkan konsep hiburan dan pendidikan. Justeru kami lebih suka tampilkan melodi yang senang diingati ramai. Lain orang lain caranya, tapi kami sudah menemui strategi terbaik,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Syed Abdul Kadir AlJoofre menganggap pembabitannya bersama UNIC menepati zaman.

“Orang sekarang memang melebihkan pengisian jiwa. Mudah-mudahan gandingan kami dapat memberikan terapi kepada masyarakat. Album ini baru dua minggu di pasaran dan kami dapati sambutan yang diterima amat menggalakkan,”katanya.

Related Posts

Load comments