Kamal Adli Tidak Kisah Watak Sama

Emma Kamal

“Apa yang saya harapkan, semoga penonton terhibur menyaksikan drama Assalammualaikum Cinta nanti,” katanya.

Kini sibuk di lokasi penggambaran drama terbarunya, Assalammualaikum Cinta arahan Michael Ang yang akan disiarkan di Astro pada Ramadan ini, Kamal bergandingan buat kali keempat di sisi teman istimewanya, Emma Maembong.

Melakonkan watak utama sebagai Azrif, Kamal akui tidak kisah asyik disogok dengan watak sama sebagai lelaki periang dan sentiasa gembira.

“Saya tidak terlalu memilih watak kerana apa yang diutamakan keselesaan dan kesesuaian. Lagi pun, saya suka dengan watak Azrif yang bersahaja. Seorang lelaki periang dan suka mengacau orang.

“Dalam realiti pun, memang pembawaan diri dan karakter saya tidak banyak beza. Jadi, mudah bagi saya melakonkan watak Azrif ini dengan cara sendiri.

Turut membintangi Assalammualaikum Cinta ialah Ayda Jebat, Saharul Ridzwan, Ku Faridah dan ramai lagi.

Ia mengisahkan Azrif dan Rykal memulakan misi mereka untuk memikat gadis bernama Emma dan Nia yang dikenali dengan tidak sengaja. Kemuncak misi mereka adalah, mana-mana gadis yang akan sebut perkataan ‘I Love You’ dulu kepada mereka, dia yang akan menang pertaruhan itu.

Bagi Emma, sejak dulu lagi dia anti dengan lelaki kaya kerana berfikiran mereka suka berlagak dan menggunakan kekayaan untuk mempermainkan perasaan perempuan.

Perkenalan tidak sengaja dengan Azrif Iqbal membawanya ke dalam mimpi ngeri. Dia tidak suka dengan sikap lelaki itu yang suka memaksanya menjadi kawan.

Mula dikenali menerusi drama aksi Bio-Nik pada 2009, Kamal akhir-akhir ini dilihat kerap muncul dalam drama untuk Astro.

Antara drama lakonannya yang akan disiarkan di Astro ialah telefilem istimewa Karya 12, Rong Ples Rong Taim arahan Yusry Abdul Halim, Sha & Shah Raya dan Oh My English! (OME).

Kata Kamal, dia sama sekali tidak bersikap memilih stesen TV.

“Siapa saya untuk bersikap memilih dengan stesen TV. Saya tidak berhak. Cuma, tak dinafikan memang kini kebanyakan drama yang saya bintangi disiarkan di Astro.

“Bukan stesen TV lain tidak memilih saya, tetapi sayangnya persetujuan sudah saya berikan kepada pihak produksi yang memberi tawaran lebih awal.

“Bagi saya, jika ada kelapangan masa dan sesuai pula dengan watak takkan hendak menolak. Pada saya, rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari,” katanya.

Related Posts

Load comments