Nana terkilan kurang luang masa bersama anak

Nana

"Alhamdulillah drama bersiri Dia Semanis Honey lakonan bersama Alif Satar mendapat sambutan memberangsangkan sekali gus membuatkan tawaran lain melimpah datang. Namun saya kasihan melihat Rayyan kerana masa bersamanya semakin terhad.

Penyanyi, Siti Nordiana, 31, terkilan apabila tidak dapat meluangkan lebih masa bersama anak lelakinya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 8, kebelakangan ini berikutan kepadatan jadual tugasan.

Siti Nordiana atau nama popularnya, Nana yang berjinak-jinak kembali di bidang lakonan menjelaskan beliau kini terpaksa selektif menerima tawaran bagi memastikan mampu memenuhi tanggungjawab sebagai ibu seperti dulu.

"Kadang kala dia sudah tidur menunggu saya pulang dari penggambaran. Selain itu, saya juga perlu memberikan tumpuan kepada bidang nyanyian. Jadual kerja padat adalah rezeki tetapi saya harus menyeimbangkan masa demi anak tercinta.

"Oleh itu, saya memilih watak bagi memastikan kebajikan Rayyan tidak terabai. Lagipun, anak lelaki saya sedang meningkat dewasa dan memerlukan perhatian," katanya.

Penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran itu sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Faizal Yusup sebelum bercerai pada tahun 2009. Bagaimana pun Faizal yang berkahwin lain meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung.

Sementara itu, mengulas mengenai gandingannya bersama Alif menerusi drama rantaian Dia Semanis Honey arahan Michael Ang dan Hadith Omar, beliau mengakui pelantun lagu Akhiri Penantianku itu banyak memberi tunjuk ajar di bidang lakonan.

"Pada mulanya saya sedikit kaku berlakon kerana sudah lama tidak beraksi di hadapan kamera sehingga Michael Ang meminta saya untuk melakonkan semula beberapa adegan awal. Semakin lama saya semakin selesa berhadapan dengan kamera.

"Walau apa pun, saya berterima kasih kepada Alif kerana banyak memberi tunjuk ajar dan tidak lokek berkongsi idea dalam membantu saya untuk memperbaiki mutu lakonan," kata Nana.

Related Posts

Load comments