Drama Andartu Kau Bidadari Ku lakonan Erra
Drama berjudul Andartu Kau Bidadari Ku itu bakal memulakan penggambarannya awal September ini. Yakin Erra Fazira masih punya aura tersendiri, pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam tampil menghasilkan sebuah drama bersiri khusus buat pelakon cantik itu.
Turut membariskan beberapa pelakon terkenal lain, Yusof berkata, idea menghasilkan drama itu timbul selepas dia berhasrat mengambil Erra berlakon semula di bawah syarikatnya, Skop Production.
“Saya mahu Erra berlakon di bawah Skop. Sebagai individu yang mula menaikkan nama Erra sehingga menjadi bintang, saya mahukan watak yang sesuai dengan dirinya.
“Dari situ timbul idea menghasilkan drama bersiri. Watak ini saya cipta khas untuk Erra, sesuai dengan penampilannya yang lebih matang dan bertudung.
“Wataknya dalam cerita ini lebih Islamik, lemah lembut dan tiada adegan peluk,” kata Yusof ketika ditemui di majlis rumah terbuka yang diadakannya, baru-baru ini.
“Saya belum menetapkan drama Andartu kau Bidadari Ku akan ditayangkan di stesen televisyen mana. Perkara ini masih dalam pertimbangan.
“Pengarah juga belum diputuskan lagi. Apa yang pasti saya akan menggalas tanggungjawab sebagai pengarah bersama drama ini.
“Saya juga berharap Erra sudi terbabit dalam filem terbitan Skop yang akan diarahkan Syamsul atau Syafiq,” katanya.
Diminta mengulas sambutan filem yang ditayangkan pada hari raya, Yusof berkata, pengisian sesebuah karya memainkan peranan penting dalam menarik perhatian penonton.
“Waktu tayangan tidak jadi persoalan. Pada hari raya orang masih menonton wayang, begitu juga cuti sekolah.
“Namun jika pengisian filem kurang menarik, macam mana orang nak tonton? Tahun ini hanya ada satu filem ditayangkan pada hari raya namun ia tidak mampu menarik perhatian ramai. “Justeru, saya berharap rakan penerbit lebih fokus terhadap pengisian filem yang bakal diterbitkan,” katanya.
Pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid teruja apabila impiannya untuk digandingkan bersama aktres Erra Fazira terlaksana.
Hisyam dan Erra bergandingan dalam drama bersiri terbaru terbitan Skop Production yang berjudul Andartu Kau Bidadariku.
“Sebagai seorang pendatang baru, saya mempunyai senarai pelakon yang saya teringin mahu bekerjasama. Erra merupakan salah seorang pelakon yang berpengalaman sehingga digelar sebagai Primadona Filem Melayu.
“Pada mulanya, saya mengakui agak gementar untuk berlakon disamping Erra. Namun begitu, perasaan tersebut hilang kerana Erra merupakan seorang pelakon yang peramah, merendah diri dan bersikap profesional,” kata Hisyam kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Hisyam turut meluahkan rasa gembira apabila drama bersiri Abang Bomba I Love You yang baru sahaja selesai bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD mendapat sambutan yang sangat positif.
“Episod pertama mendapat 2.0 juta tontonan manakala saya difahamkan episod akhir drama bersiri tersebut mendapat 3.2 juta tontonan. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada penonton yang memberikan sokongan terhadap drama bersiri ini.
“Watak sebagai seorang pegawai bomba memang dekat di hati saya. Sebelum menceburkan diri dalam bidang lakonan, saya berkhidmat sebagai bomba di Singapore Civil Defence Force bermula tahun 2005 sehingga tahun 2013,” katanya yang ditemui di majlis perasmian sambutan ulangtahun ke-20 Astro di Bukit Jalil pada Isnin.
Selain Hisyam, majlis tersebut turut dihadiri oleh bintang Korea terkemuka, Kim Rae-Won, hos program National Geographic, Harry Yuan, selebriti terkenal tanah air seperti Aaron Aziz, Zizan Razak, Johan, Lisa Surihani, Hafiz Suip, Adira, Harith Iskander, Nabil Ahmad, Datuk Aznil Nawawi dan ramai lagi.
Selain drama Andartu Kau Bidadari Ku yang bersiaran sebanyak 13 episod itu, Yusof juga akan menampilkan Erra dalam drama bersiri Gerak Khas untuk 2017.
Related Posts
Load comments