Menariknya Pendakwah Cilik ini merupakan program realiti Islamik pertama di saluran Salam HD (Hypp TV) yang mengetengahkan bacaan al- Quran, taranum dan syarahan pada satu masa.
Program yang menjalani penggambaran sejak 21 September lalu ini bakal disiarkan 13 episod.
Cuba lari daripada kebiasaan program realiti keagamaan kanak-kanak sedia ada, penerbit Datuk A Aida tampil dengan buah tangan terbaru berjudul Pendakwah Cilik yang bakal ditayangkan bermula 26 November ini.
Menurut A Aida, ini satu lagi landasan terbaik bagi kanak-kanak menonjolkan bakat mereka dalam bidang itu.
Peserta Pendakwah Cilik
Sepuluh peserta yang berjaya terpilih ialah:- Harith Mohd Apandi, 11
- Muhammad Aiman Ramli, 11
- Nor Farhana Izzati Kamaruzlan, 11
- Muhammad Faris Hakim Mohd Nasir, 12
- Nuradriana Ab Murak, 10
- Ahmad Asyraf Azraie, 11
- Adam Hakimi Khairul Nizam, 12
- Athirah Azraie, 12
- Muhammad Zaidanul Amin Mohamad Zaki, 11
- Muhammad Syadril Idham Sable, 12
“Idea ini hadir secara spontan. Cuma memandangkan beberapa stesen TV lain ada menerbitkan program realiti seumpamanya, saya perlu mencipta kelainan dari segi pengisian. Oleh itu, saya pun mengadakan perbincangan dengan pihak Hypp TV.
“Selepas meneliti banyak perkara, kami sepakat untuk mengetengahkan bacaan taranum dan syarahan selain fokus kepada bacaan al-Quran. Secara tak langsung, tiga elemen ini menjadi pembelajaran tak formal kepada setiap peserta yang terbabit.
“Sasaran penonton kami bukan kanak-kanak semata-mata tetapi sesuai buat seisi keluarga. Saya boleh janjikan, sambil menonton mereka boleh dapat banyak manfaat daripada apa yang dipaparkan,” katanya.
Juri Pendakwah Cilik
Terdiri dari juri tetap dan jemputan disetiap minggu.- Ustaz Tarmizi Abdul Rahman (Juri tetap)
- Ashraf Muslim
- Amin Idris
- Imam Muda Asyraf
- PU Hafiz
- Imam Muda Hassan
Berdurasi sejam, program ini dihoskan Ustaz Fakhrul Radhi yang juga pengacara program Nasi Lemak Kopi O.
Kira-kira 300 peserta menghadiri uji bakat yang diadakan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sebelum memilih 10 peserta terbaik.
“Pemilihan peserta dibuat berdasarkan tiga elemen itu. Malah ia terbuka kepada semua dan tidak fokus kepada kanak-kanak yang bersekolah agama atau tahfiz sahaja. Disebabkan itu, kami mendapat peserta istimewa yang cacat penglihatan.
Hadiah Bakal Pemenang
- Juara - RM10,000 dan tiket pelancongan ke Aceh, Indonesia (empat hari tiga malam)
- Kedua - RM5,000 dan percutian ke Universal Studio Singapura (tiga hari dua malam)
- Ketiga - RM3,000 dan percutian ke Universal Studio Singapura (tiga hari dua malam)
“Kami bukan mahu tarik perhatian atau mengundang simpati penonton, tetapi peserta itu memang berbakat. Rugi jika tidak diketengahkan,” katanya.
Selain penerbit, A Aida turut menjadi tenaga pengajar dengan memberikan nasihat kepada setiap peserta berkaitan komunikasi di depan kamera dan penampilan diri.
A Aida berkata, dia mahu menjadikan program ini sebagai satu jenama baru untuk Salam HD dan syarikat penerbitannya.
“Insya-Allah program ini bakal diteruskan bagi musim kedua tahun hadapan. Saya percaya program ini mampu menarik perhatian penonton. Paling penting, ini satu lagi jenama baru bagi syarikat saya dan saluran ini.
“Saya juga sudah menetapkan juara dan pemenang tempat kedua akan dilantik sebagai duta kecil Salam HD. Mereka akan mengalunkan azan setiap kali masuk waktu solat. Bagi saya ini sesuatu yang baru dan jarang dilihat di kaca TV,” katanya.