'Simetri Siti' Album Terbaru Siti Nurhaliza

Dalam album Simetri Siti ini menampilkan lima lagu diiringi persembahan orkestra dari luar negara. Album terbaru Datuk Siti Nurhaliza yang berjudul Simetri Siti bukan saja merealisasikan beberapa impiannya, malah memberi cabaran tersendiri terutama dalam mengekalkan kualiti sebuah album.

simetri siti

Memandangkan Siti pernah beberapa kali memenangi kategori Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) mendorong dia dan pasukannya untuk lebih berhati-hati dalam menghasilkan album studio ke-18 ini.

 

“Sama seperti album sebelum ini, saya sentiasa gementar apabila setiap kali memulakan sesi rakaman sehingga ia siap. Bukan apa, kemenangan di AIM sebelum ini membuatkan saya perlu memberikan yang terbaik dari segi susunan muzik dalam lagu.

“Disebabkan itu saya bersama penerbit berbincang dan sepakat memilih lima lagu untuk diiringi orkestra luar negara. Saya bertuah apabila orkestra terbabit pernah mengiringi persembahan beberapa artis terbaik antarabangsa.

“Saya menyifatkan ia satu pencapaian terbaik dalam album saya. Tinggal lagi cara saya nak menyanyikan lagu itu,” katanya.

Menerusi album ini juga, Siti sanggup membayar harga lebih tinggi semata-mata untuk mendapatkan lagu daripada komposer dan penyanyi Indonesia, Opick menerusi lagu Aku Bukan Malaikat.

Apatah lagi perkara itu menjadi impian Siti selama ini untuk menyanyikan hasil karya komposer yang popular dengan lagu Dealova, Rapuh dan Cahaya Hati.

“Secara peribadi lagu dan lirik itu sangat menyentuh dari segi emosi. Pendek kata ia memang sesuai untuk wanita. Malah, ketika merakamkan lagu ini saya sedikit sebak. Tidak dinafikan lagu ini yang tertinggi dari segi bayaran. Terima kasih kepada Universal Music Malaysia yang turut membantu. Jadi ringan sedikit bebanan.

“Apa saya lakukan ini bukan nak membeza-bezakan komposer tempatan dan luar negara. Bagi saya ia kehendak masing-masing. Dalam perkara ini saya berasakan ia masih okey. Lagi pula kos keseluruhan album ini masih berada pada tahap biasa iaitu mencecah RM100,000. Berbanding album Lentera Timur yang mencecah RM200,000,” katanya.

Selain itu, Siti juga meluahkan rasa gembira apabila dapat berduet dengan penyanyi hebat Indonesia, Judika menerusi lagu Kisah Ku Inginkan.

Pada masa sama, album yang dilancarkan pada 5 Mei lalu itu dipasarkan serentak di empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

 

Album Kulit Terbaik


Pernah memenangi beberapa kategori utama dalam AIM, Siti sekali lagi menaruh harapan untuk membawa pulang trofi Kulit Album Terbaik.

Justeru, kulit album baru ini dianggap pilihan terbaik dan memiliki nilai sentimental tersendiri yang memaparkan aksi Siti dikerumuni peminat dan lensa kamera.

“Setiap kali bertanding dalam AIM saya sentiasa berharap tercalon dalam kategori Kulit Album Terbaik dan seterusnya menang. Sama juga untuk album kali ini, saya tetap meletakkan harapan sama. Sebabnya saya tak pernah menang kategori ini.

“Secara peribadi kulit album ini sangat unik dan mempunyai cerita tersendiri. Pengarah bagi kulit album ini adalah individu sama yang pernah menghasilkan beberapa kulit album saya sebelum ini. Selepas duduk berbincang, ramai sepakat memilih gambar itu,” katanya.

Khabar gembira buat seluruh peminat penyanyi lagu Segala Perasaan ini apabila Siti merancang mengadakan konsert di Istana Budaya, Kuala Lumpur, hujung tahun ini.

Siti berkata, konsert itu bakal menampilkan keseluruhan lagu dalam album baru ini.

“Jika perancangan berjalan lancar mungkin hujung tahun ini. Konsert kali ini sangat istimewa kerana saya nak menyanyikan lagu baru daripada album Simetri Siti,” katanya. - HMetro

Related Posts

Load comments