Karya 12 Vol. 2 membawakan telefilem berjudul Luar Biasa yang diinspirasikan daripada kisah hidup Dek Wan. Diterbitkan untuk dijadikan sebagai motivasi dan semangat kepada insan lain di luar sana.
Empunya diri Mohamad Ridzuan Puzi atau lebih dikenali dengan panggilan Dek Wan sememangnya merupakan individu yang berjasa kepada negara. Mana tidaknya, kejayaannya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas menerusi Sukan Paralimpik Rio dalam acara 100 meter T36 pada tahun lepas sudah cukup membanggakan.
Video Luar Biasa
Barangkali orang hanya melihat dirinya sebagai seorang atlit, tetapi di sebalik kejayaannya itu sudah pasti tersimpan seribu satu cerita. Tiada siapa pernah sangka, Dek Wan yang pernah dilihat serba kurang satu masa dahulu dek masalah cerebral palsy itu kini berjaya membuktikan bahawa dirinya boleh pergi sama jauh dengan insan lain.
Diarahkan oleh sutradara terkenal, Tunku Mona, karya yang diterbitkan menerusi slot Karya 12 di salutan Astro Citra itu menampilkan barisan pelakon berbakat besar seperti Raykarl Iskandar, Idan Aedan dan Sharolnizam Noor sebagai peneraju utama.
“Cerita yang kita cuba paparkan bukanlah semata-mata mengenai Dek Wan sendiri. Kita mahu tonjolkan kepada penonton elemen-elemen lain seperti kekeluargaan dan pengorbanan orang sekeliling yang membesar bersama-sama Dek Wan itu.
“Dalam naskhah ini, kita mengambil plot masa menggambarkan kehidupan Dek Wan bersama abangnya yang ketika itu masih lagi berusia belasan tahun. Jalan cerita yang dipaparkan dalam telefilem ini kita ambil dari sudut kaca mata abangnya yang bernama Saiful ataupun lebih dikenali dengan gelaran Abang Pun,” kata Tunku Mona ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Menurut Tunku Mona, memandangkan cerita Luar Biasa itu merupakan sebuah naskhah daripada kisah benar, justeru apa yang dipaparkan digarap menerusi penceritaan semula yang digambarkan daripada abang Dek Wan sendiri.
“Kita berjumpa dengan Abang Pun untuk menyelami kisah kehidupan mereka. Dari situlah kemudian kami menghasilkan skrip untuk jalan cerita.
“Mungkin ada dalam 10 peratus sahaja beberapa watak yang kita wujudkan sebagai fiksyen untuk kita sesuaikan dengan jalan cerita. Bagaimanapun asas cerita itu masih kita kekalkan,” kongsi pemegang trofi Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-29 itu.
Katanya lagi, proses penggambaran sudah dilakukan pada bulan lalu di beberapa lokasi di Pahang.
“Lokasi utama penggambaran dijalankan di Felda Lakum, Pahang yang mengambil masa selama 11 hari.
“Syukur, barisan pelakon dapat menterjemahkan karakter mengikut apa yang dikehendaki dengan baik,” kongsinya.
Jelas Tunku Mona lagi, dia mengakui berdepan dengan beberapa cabaran dalam menghasilkan Luar Biasa.
“Cerita ini menyentuh kehidupan anak orang kelainan upaya yang saya lihat ia perlu digarap dengan berhati-hati agar tidak menyinggung mana-mana pihak. Saya tak mahu penonton melihat cerita itu nanti seolah-olah kita mengajuk orang kelainan upaya.
“Kita juga ada membawa Dek Wan dan abangnya untuk turun ke set bagi melihat sendiri proses penggambaran secara lebih dekat. Respons yang kami terima cukup baik,” katanya yang memberitahu telefilem itu bertemu penonton di kaca televisyen pada 25 November ini.
Luar Biasa lakonan Raykarl Iskandar dan Idan Aedan
Related Posts
Load comments