Filem Dubai My Love lakonan Ben Ali dan Puteri Najuwa

Berikutan kurang menjaga kebajikan pekerja, Ben Ali terkilan dengan syarikat produksi Tsar Asia Sdn Bhd semasa sepanjang menjalani penggambaran filem Dubai My Love di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), tahun lalu.

Dubai My Love

Ben berkata, walaupun ia sudah lama tetapi dia masih tidak berpuas hati kerana pihak terbabit seperti tidak menjelaskan kejadian sebenar kepadanya.

"Sehingga ke hari ini mereka masih tidak menerangkan keadaan sebenar kepada saya. Terkilan juga kerana selama dua minggu menjalani penggambaran di sana, mereka kurang menjaga makan dan minum kami,” katanya.

Ben berkata, pihak terbabit juga tidak menyediakan kaki tangan yang menjaga pakaian pelakon ketika penggambaran hingga membuatkan pelakon terpaksa melakukan sendiri.

Ben yang popular dengan drama bersiri Kak Marr berkata, dia juga kasihan dengan kru produksi yang terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membeli makanan yang kebanyakannya mahal di sana.

Sementara itu, Pengarah Kreatif Tsar Asia, Aidilfitri Mohamed Yunos berkata, apa yang berlaku adalah salah faham dan pihaknya sudah memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk Ben.

“Kami tidak faham kenapa dia masih tidak berpuas hati. Kami sudah biasa melakukan penggambaran di luar negara. Jika ada masalah kecil itu adalah perkara biasa yang boleh dibawa berbincang.

"Sepanjang berada di sana kami memberikan tempat tinggal dan segala kelengkapan yang sempurna untuk semua. Mungkin dia tidak berpuas hati soal makanan.

"Di Dubai kita disajikan dengan menu Arab dan tidak ada nasi campur atau ayam penyet seperti di Malaysia. Jika dia rasa bosan dengan menu sama, dia boleh beli makanan ikut cita rasa sendiri," katanya.

Diminta mengulas mengenai promosi filem berkenaan, Aidilfitri berkata, setakat ini semua pelakon memberikan kerjasama yang baik.

“Saya lihat dia (Ben) memberi kerjasama dan tidak ada masalah. Jadi, saya anggap masalah dulu sudah selesai tetapi tidak tahulah kalau dia masih tidak puas hati. Sebelum ini pun dia tidak ada bercakap apa-apa mengenai isu itu," katanya.

Selain Ben, Dubai My Love turut dibintangi Erwin Dawson dan Puteri Najuwa. Filem berkenaan bakal menemui penonton pada September ini. - HMetro

Related Posts

Load comments